Bakal pengantin terkejut pelamin hampir dihanyutkan banjir  - Utusan Malaysia

Bakal pengantin terkejut pelamin hampir dihanyutkan banjir 

NORATIKAH Isa menunjukkan perhiasan pelamin yang basah selepas banjir melanda rumahnya di Kampung Kemangi, Kupang, Baling, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang bakal pengantin perempuan tidak menyangka hari bahagianya hampir musnah apabila rumahnya di Kampung Kemangi, Kupang di sini, dinaiki air sedalam 0.5 meter dalam kejadian banjir petang semalam.

Pelamin yang siap dipasang untuk persandingan sertad beberapa barangan persiapan majlis kenduri pada esok juga terkena air dan sebahagiannya sempat diselamatkan ahli keluarga.

Noratikah Isa, 28, berkata, ketika kejadian, dia berada di Sungai Petani dekat sini untuk mengambil beberapa barangan majlis kenduri perkahwinannya.

“Saya dapat tahu kejadian itu melalui aplikasi WhatsApp keluarga dan terkejut apabila melihat gambar air deras memasuki rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Sementara itu, abangnya, Mohd. Ridzuan Isa, 52, berkata, rumah bapanya itu tidak mengalami banjir sejak tujuh tahun lalu.

“Sejak dibina benteng batu di tepi anak sungai, ini kali pertama banjir teruk berlaku selepas hujan tidak berhenti sejak pukul 4 petang hingga 7 petang semalam.

“Keadaan menjadi kelam-kabut apabila kami sekeluarga dan jiran-jiran kampung sedang melakukan persiapan kenduri kahwin adik bongsu,” katanya.

Kata Mohd. Ridzuan, mereka terpaksa menyelamatkan barang-barang persediaan perkahwinan seperti pelamin, kerusi dan meja.

Malah, tambahnya, khemah yang roboh dalam kejadian itu juga hampir dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, banjir berlaku akibat daripada pembersihan kawasan penanaman durian Musang King yang terletak di atas sebuah bukit berhampiran kampung berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya