Pulau, beting di Tumpat, Kota Bharu berisiko jadi lokasi jenayah

Pulau, beting di Tumpat, Kota Bharu berisiko jadi lokasi jenayah

AHMAD RADZI HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Terdapat lebih 10 lokasi pulau kecil dan beting di kawasan muara Sungai Kelantan sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat dan Kota Bharu yang berpotensi digunakan sebagai lokasi transit atau aktiviti tersembunyi terutama perlakuan jenayah.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kawasan itu menawarkan kelebihan kepada sindiket kerana terlindung daripada pandangan umum selain mudah diakses menggunakan bot kecil.

Katanya, kawasan yang dipenuhi semak, paya dan pokok bakau menghalang pemandangan selain menyukarkan akses melalui jalan darat.

“Pergerakan bot di kawasan itu juga tidak mudah menimbulkan syak wasangka kerana aktiviti nelayan berlaku setiap hari.

“Situasi itu sekali gus menyebabkan kehadiran bot kelihatan normal,” katanya bagi mengulas taktik licik menjadikan kawasan pulau terpencil di sekitar Badang, di sini sebagai ‘makmal’ memproses dan menyimpan air ketum.

Serbuan berasingan menerusi Op Taring Mitra di sekitar Pulau Pisang dan Pulau Pak Mat itu membawa kepada rampasan keseluruhan berjumlah RM58,930.

Ahmad Radzi berkata, risiko pengesanan di kawasan pulau kecil adalah lebih rendah berbanding operasi yang dijalankan di kawasan perumahan atau penempatan penduduk.

Katanya, usaha pihak berkuasa untuk menghampiri lokasi sindiket dari kawasan darat mudah dikesan lebih awal oleh kumpulan terbabit berikutan laluan keluar masuk yang terhad.

“Selain mengelakkan perhatian pihak berkuasa, lokasi pulau kecil dipilih kerana memudahkan proses pelupusan bahan atau pemindahan hasil daripada kegiatan jenayah yang dijalankan.

“Faktor ininmenjadikan kawasan pulau kecil dan pesisir muara sungai antara lokasi strategik yang sering dieksploitasi oleh sindiket bagi menjalankan kegiatan haram secara terselindung,” ujarnya.

Pulau yang terdapat di sekitar Tumpat dan mempunyai penduduk ialah Pulau Suri, Pulau Beluru, Pulau Sri Tanjung, Pulau Teluk Renjuna, Pulau Seratus, Pulau Timun, Pulau Nik Him, Pulau Tongkang, Pulau Besar dan Pulau Gorek .

Selain itu terdapat beberapa pulau yang tidak mempunyai penghuni dan gugusan itu boleh diakses dengan menaiki bot dari beberapa jeti utama seperti Jeti Kuala Besar (Kota Bharu) atau Jeti Pulau Beluru serta Kok Majid di Tumpat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN