Nelayan kelas C didakwa jual diesel bersubsidi

Nelayan kelas C didakwa jual diesel bersubsidi

Agensi penguatkuasaan digesa meningkatkan pemantauan dan melakukan pemeriksaan bagi membanteras kegiatan menjual diesel bersubsidi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Nelayan C2 di negeri ini meminta pihak berwajib memantau kegiatan segelintir nelayan kelas C yang didakwa menjual minyak diesel bersubsidi yang dibeli pada harga RM1.65 seliter kepada tauke-tauke besar.

Dakwa sumber nelayan C2, ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah merupakan ketidakadilan kepada golongan terbabit yang tidak memperoleh subsidi dan perlu membeli pada harga semasa RM6.02 sen ketika ini.

“Minyak diesel bersubsidi dibeli pada harga RM1.65 seliter, tetapi ada yang menjual semula kepada pihak tertentu terutama tauke besar dengan harga melebihi RM3 seliter.

“Biasanya, mereka ini sekali jual dalam kuantiti tidak besar, 1,000 liter tetapi berulang kali dan tetap memperoleh keuntungan. Ini suatu ketidakadilan kepada kami nelayan C2 khususnya bumiputera yang tidak menerima subsidi,” dakwanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dakwa sumber tersebut lagi, keuntungan besar sebenarnya diperoleh oleh nelayan kelas C terbabit yang menjual diesel bersubsidi diperoleh kerana mereka tidak perlu menanggung kos tinggi untuk mengisi minyak.

“Pada masa sama, tauke-tauke besar juga mendapat manfaat kerana boleh beli diesel pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.

“Dengan harga murah itu, mereka boleh terus ke laut seperti biasa tanpa rasa terbeban. Inilah yang membuatkan kegiatan ini semakin berleluasa kerana kedua-dua pihak sama untung,” katanya.

Sumber itu menggesa agensi penguatkuasaan meningkatkan pemantauan dan melakukan pemeriksaan bagi membanteras kegiatan menjual diesel bersubsidi tersebut.

“Kami harap pihak berkuasa lebih serius. Jangan tunggu sampai isu ini jadi besar baru hendak bertindak. Kalau dibiarkan, ia boleh jadi sindiket yang sukar dibendung,” tegasnya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kos mengisi minyak diesel yang mencecah lebih RM150,000 sebulan membebankan nelayan kelas C2 bumiputera di negeri ini sehingga mereka terpaksa menghentikan operasi menangkap ikan.

Difahamkan, sebuah bot C2 memerlukan kira-kira 30,000 liter diesel setiap bulan untuk turun ke laut, sekali gus menjadikan kos bahan api sahaja lebih RM150,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN