Dua lelaki warga Thailand kantoi cuba seludup diesel

Dua lelaki warga Thailand kantoi cuba seludup diesel

PENGUATKUASA KPDN memeriksa kenderaan warga Thailand yang disyaki menyeleweng minyak diesel dalam operasi di Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua lelaki warga Thailand ditahan kerana disyaki menyeludup minyak diesel bersubsidi dalam operasi dijalankan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri sekitar Kubang Pasu, semalam.

Menurut Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, dua lelaki berusia 30-an itu menggunakan taktik mengisi minyak berulang kali di stesen minyak sekitar Changlun dan Bukit Kayu Hitam sebelum diberkas.

“Kedua-dua lelaki itu ditahan di laluan keluar menghala ke Thailand di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam. Kenderaan mereka dipercayai membuat pembelian minyak diesel dalam kuantiti yang dibenarkan iaitu sebanyak 20 liter sahaja tetapi membuat pembelian secara berulang di stesen minyak yang lain yang dipercayai untuk diselewengkan.

“Anggota penguatkuasa seterusnya bertindak menyita sejumlah minyak diesel dalam anggaran 120 liter bagi kedua-dua kenderaan berkenaan. Pikap bernombor pendaftaran Thailand turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua pemandu warganegara Thailand itu ditahan dan dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini.

“Anggaran nilai rampasan minyak diesel adalah sebanyak RM258, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM140,258 termasuk kenderaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011,” katanya.

Beliau memberitahu, operasi membanteras penyeludupan minyak diesel di sekitar Changlun dan Bukit Kayu Hitam itu melibatkan 18 pegawai dan anggota penguatkuasa Pejabat KPDN Alor Setar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya