Helah sorok diesel dalam tangki bawah tanah terbongkar - Utusan Malaysia

Helah sorok diesel dalam tangki bawah tanah terbongkar

KAMALLUDIN Ismail (tengah) menunjukkan lori yang disita selepas serbuan dilakukan di pusat pengumpulan minyak diesel bersubsidi di Kampung Kepayang, Simpang Pulai hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Helah licik sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik kawasan kolam ikan terbongkar dengan penemuan dua tangki simpanan minyak bawah tanah, semalam.

Serbuan pada pukul 11 malam di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan minyak diesel itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas risikan dijalankan selama dua minggu ke atas aktiviti pembelian minyak diesel di stesen minyak sekitar Simpang Pulai menggunakan lori.

Katanya, lori yang digunakan oleh sindiket berkenaan telah diubah suai dengan meletakkan tangki lain selain tangki asal.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sebanyak 32,000 liter cecair disyaki diesel bernilai RM76,160 ditemukan di dalam dua tangki bawah tanah dan tangki tambahan di premis tersebut.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, mereka juga telah meletakkan pelbagai barang di atas tangki bawah tanah untuk mengelak daripada dikesan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan sama pihaknya merampas lima unit pam penyedut minyak dan dua buah lori yang digunakan untuk membeli dan mengedar bahan bakar berkenaan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM321,170.

Katanya, dua lelaki tempatan berusia 49 dan 47 tahun disyaki pemilik premis ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati premis yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu tidak mempunyai sebarang lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada KPDN.

“Minyak yang diseleweng ini akan dijual kepada syarikat industri di Pulau Pinang dan mampu meraih keuntungan sehingga RM45,000 sebulan,” katanya.

Tambah beliau, serbuan di premis itu merekodkan jumlah sitaan diesel dan nilai rampasan terbesar di Perak sejak Op Tiris dilancarkan Mac lalu.

“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya