Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi - Utusan Malaysia

Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

KPDN Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori bersama 10,000 liter bersubsidi yang disimpan di sebuah lori yang diubah suai untuk kegiatan menyeleweng bahan itu di Bukit Mertajam, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di sini sempena Ops Tiris, kira-kira pukul 7 petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, serbuan oleh empat anggota penguat kuasa itu hasil daripada risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, ketika serbuan di stesen minyak tersebut, pemandu lori terbabit yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an didapati sedang mengisi minyak bersubsidi diesel ke dalam tangki asal kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap lori berkenaan kemudian mendapati dua unit nozel ‘dispencer’ diesel telah dimasukkan ke dalam tangki asal kenderaan berkenaan bagi proses pengisian.

“Pemeriksaan seterusnya di bahagian belakang lori yang ditutupi kanvas pula mendapati, terdapat satu unit tangki fiber tambahan yang diubah suai dan disyaki mengandungi bahan api bersubsidi diesel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, pasukan serbuan turut menjumpai satu unit pam motor dan hos dalam lori tersebut yang digunakan untuk menyedut minyak diesel daripada tangki asal.

Jelasnya, siasatan lanjut di tempat kejadian pula mendapati, lelaki tersebut didapati telah membuat pembelian bahan api bersubsidi diesel secara tunai daripada stesen minyak tersebut.

“Modus operandi bagi kes ini adalah dengan membeli bahan api bersubsidi diesel di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini sebelum dikumpul di suatu tempat penyimpanan sementara bagi tujuan penjualan kepada pihak industri.

“Siasatan juga akan dilakukan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan sama ada mereka terlibat dan bersubahat dalam kes ini,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan kesemua rampasan dan sitaan pula dianggarkan bernilai lebih RM60,000.

Jegan berkata, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” ujar beliau.

Tambah beliau, bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras, orang awam disaran menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya