Cubaan perompak kedai emas gagal, maut ditembak pengawal

Cubaan perompak kedai emas gagal, maut ditembak pengawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cubaan seorang lelaki untuk merompak sebuah kedai emas di sini, gagal selepas berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan dalam kejadian kira-kira pukul 10.59 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek yang bersenjatakan pisau cuba melarikan barangan kemas, namun tindakannya berjaya dihalang pengawal keselamatan yang bertugas di premis berkenaan.

“Dalam pergelutan itu, suspek mengalami kecederaan akibat tembakan yang dilepaskan pengawal keselamatan, manakala pengawal terbabit turut cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek disahkan meninggal dunia pada pukul 11.53 pagi.

Katanya, bedah siasat ke atas mayat suspek akan dijalankan di PPUM esok bagi mengetahui punca kematian.

Shamsudin berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan berkaitan rompakan bersenjata serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960, dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat, ASP Mohd Zairi Zakaria di 013-8391124 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN