MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah yang baharu 11 hari bekerja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki.
Tertuduh, Ibrahim Dini, 59, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dua bulan bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 1.23 tengah hari, 11 November 2025 dalam tandas murid lelaki di sebuah sekolah dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat, mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 ke atas bapa kepada enam anak itu.
Peguam Muhammad Arifin Abdul Wahab memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan dan bakal kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, susulan pertuduhan dihadapi.
Hujahnya, tertuduh hanya bergantung kepada pencen selaku veteran tentera kira-kira RM900 sebulan, selain dibantu pendapatan isteri yang bekerja dan tinggal bersama ibu berusia 70 tahun.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM9,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Januari depan. – UTUSAN










