Pengawal keselamatan dipenjara lima tahun, bawa parang di tempat awam

Pengawal keselamatan dipenjara lima tahun, bawa parang di tempat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki sebilah parang tanpa kebenaran, dua hari lalu.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu selepas merekodkan pengakuan bersalah tertuduh, Ahmad Jazlan Muhammad Ariff, 32.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah parang tidak berjenama di kawasan kondominium di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields tanpa kebenaran yang sah pada pukul 5.30 pagi, 26 Oktober 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan.

Menurut fakta kes, pasukan Balai Polis Brickfields menerima aduan daripada kaunter keselamatan kondominium mengenai seorang lelaki yang didakwa membawa parang di kawasan tersebut. 

Pemeriksaan awal mendapati tertuduh tidak memiliki sebarang barangan yang salah di sisi undang-undang.

Selepas disoal siasat, tertuduh mengaku telah menyembunyikan sebilah parang di bawah meja berhampiran pintu masuk kondominium. Parang berkenaan kemudiannya dijumpai dan dirampas oleh polis.

Hasil semakan mendapati, tertuduh mempunyai sembilan rekod jenayah lampau. Susulan itu, tertuduh ditahan di lokasi kejadian selepas bertindak agresif ketika cuba melarikan diri.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga dan berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzua memohon hukuman berbentuk pengajaran memandangkan kesalahan itu melibatkan senjata berbahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN