Pengawal keselamatan didenda, menyamar polis peras ugut warga asing

Pengawal keselamatan didenda, menyamar polis peras ugut warga asing

TERTUDUH diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas dijatuhi hukuman denda RM6,000 kerana menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut warga asing.-UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut warga asing Ahad lalu.

Majistret, Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Saril Ismail, 51, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menyamar sebagai penjawat awam dan melakukan perbuatan atas kuasa jawatan tersebut terhadap seorang lelaki warga Bangladesh.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Bendahara, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 2.54 petang 1 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu sedang mengayuh basikal di Jalan Bendahara, Melaka sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dari arah belakang.

Tertuduh yang berpakaian baju hitam, seluar hitam dan memakai topi keledar biru kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis, sebelum menarik beg milik pengadu dan memeriksa kandungannya.

Tertuduh kemudian mengambil wang tunai berjumlah RM720 daripada beg berkenaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian, menyebabkan pengadu mengesyaki lelaki itu menyamar sebagai anggota polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu untuk mendapatkan wang lebih namun sudah menyesal dan tidak akan mengulanginya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN