Warga Bangladesh sanggup membelah samudera demi ‘cinta hati’

Warga Bangladesh sanggup membelah samudera demi ‘cinta hati’

Cinta PATI
MAHMUD disoal Mohd. Fairusnizam Abdul Razak yang ditemui selepas sidang akhbar Maritim Malaysia Selangor, di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegagalan mendapatkan visa membuatkan seorang lelaki warga Bangladesh sanggup ke Medan, Indonesia secara haram demi melangsungkan pernikahan dengan cinta hatinya yang merupakan warga negara itu pada Disember lalu.

Malah, lelaki yang dikenali sebagai Mahmud itu memberitahu, dia sanggup bersesak bersama 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) lain dalam sebuah bot pom-pom bersaiz 15 meter.

Menurutnya, dia mempunyai dokumen pengenalan dan pasport yang sah, namun permohonannya untuk mendapatkan visa untuk pergi ke sana ditolak oleh kedutaan negara tersebut.

“Kemudian, isteri saya ketika itu kecewa kerana saya gagal mendapatkan visa dan dia tanya ‘hendak kahwin tak’. Kemudian dia mengarahkan saya menghubungi rakannya yang menawarkan khidmat menaiki bot ke Indonesia.

“Semua urusan perjalanan, isteri saya yang uruskan dengan kos kira-kira 5 juta Rupiah (kira-kira RM1,200). Isteri suruh saya hubungi nombor telefon yang  diberikan untuk bertolak dari Selangor ke Tanjung Balai,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, hari ini.

Tambah Mahmud, dia pergi ke Indonesia pada bulan lalu dan melangsungkan pernikahan pada 26 Disember kemudian tinggal di sana kira-kira satu bulan sebelum pulang dengan menaiki bot, malam tadi.

Bagaimanapun, dia ditahan bersama 77 PATI lain warga Indonesia dan dua awak-awak terdiri daripada 51 lelaki serta 29 wanita berusia 16 hingga 60 tahun ketika memasuki perairan berdekatan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.

Penolong Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Komander Mohd. Fairusnizam Abdul Razak berkata, tangkapan dibuat berdasarkan risikan pasukannya yang mengesan bot tersebut dari Jeti Nelayan Batu Bara, Indonesia.

Sementara itu, Mahmud, 31, memberitahu, dia sudah tinggal di negara ini sejak lapan tahun lalu kerana bekerja dekat sebuah kilang makanan sejuk beku di Johor Bahru dan mempunyai permit pekerjaan yang sah.

“Saya kenal isteri sejak 2022, ketika itu dia bekerja di sini sebagai pembantu rumah. Kemudian pada 2024 dia kembali ke kampung halamannya di Medan.

“Tetapi, saya tak boleh bawa isteri bersama tinggal dengan saya ketika ini sehingga semua dokumen perjalanan dan pasportnya dapat diuruskan,” ujarnya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN