KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dengan menahan tiga individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, minggu lalu.
Tangkapan itu dibuat susulan laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 10 Januari lalu daripada seorang penuntut wanita berumur 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisoner Mohamad Lazim Ismail berkata,mangsa dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat ACP dari Bukit Aman dan dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes penggubahan wang haram sebelum diarahkan menyerahkan barangan berharga bagi tujuan siasatan.
Katanya, akibat terpedaya, mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM70,000.
“Hasil siasatan dan risikan membawa kepada penahanan tiga individu secara berasingan pada 11 dan 12 Januari membabitkan dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 28 hingga 46 tahun, yang kesemuanya warga tempatan.
“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk sebuah kereta Proton Iris, beg tangan, telefon bimbit, barangan kemas, wang tunai RM560 serta dua ketulan emas dengan berat keseluruhan 172.77 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM132,360 dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, seorang daripada tiga individu yang ditahan telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan dan tidak panik walaupun pemanggil mengaku sebagai pihak berkuasa.
“PDRM menegaskan sebarang urusan rasmi memerlukan kehadiran fizikal di balai polis atau IPD dan tidak akan diselesaikan melalui panggilan telefon semata-mata.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak menyerahkan wang, barangan berharga atau maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali selain membuat semakan akaun dan nombor telefon melalui laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
“Sekiranya menerima panggilan mencurigakan, segera catat maklumat dan buat laporan di balai polis berhampiran atau melalui saluran rasmi PDRM,” katanya. – UTUSAN










