PETALING JAYA : Keterangan seorang pegawai pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyalahgunaan dana diambil hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pukul 11 pagi ini untuk melengkapkan siasatan
“Hari ini kami panggil beliau untuk membantu siasatan dan rakaman percakapan bermula jam 11 pagi tadi. Setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun rakaman percakapan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azam berkata, setakat ini, hanya pegawai itu yang dipanggil bagi merakamkan percakapan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lagi pegawai pengurusan tertinggi ATM disiasat SPRM dan akan dituduh dalam masa terdekat berkaitan isu rasuah.
Siasatan membabitkan individu terbabit sudah sampai ke penghujung dan jika dipersetujui Peguam Negara pegawai pengurusan tertinggi terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan. – UTUSAN










