MELAKA: Seorang lelaki diberkas kerana dipercayai menyamar sebagai polis, selain menahan serta mengugut gadis berusia 17 tahun untuk memenuhi kehendak seksualnya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditangkap pada pukul 6.30 petang, kelmarin.
Katanya, kegiatan suspek terbongkar selepas mangsa membuat laporan ditahan lelaki terbabit ketika menunggang motosikal kira-kira pukul 2 pagi, Ahad lalu.
“Ketika itu pengadu yang bekerja sebagai juruwang sebuah pasar raya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klebang melalui jalan Datuk Seri Haji Mohd. Zain di Cheng.
“Tiba-tiba dia didatangi suspek menunggang motosikal yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta kad pengenalan pengadu sebelum mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya,” katanya hari ini.
Christopher berkata, suspek turut meminta telefon bimbit mangsa untuk diperiksa dan menekan butang ‘follow’ di aplikasi TikTok gadis itu.
“Suspek meminta mangsa untuk memuaskan nafsunya, sekiranya tidak mahu dikenakan saman. Gadis terbabit hadir ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan diri, selain mahu tindakan diambil penguat kuasa.
“Kita berjaya menjejaki suspek yang kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis,” katanya. – UTUSAN










