KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 buah motosikal pelbagai jenis antaranya Yamaha Y15ZR (Y suku) dan Yamaha 135LC disita atas pelbagai kesalahan menerusi Op Samseng Jalanan sempena sambutan Tahun Baharu 2026, awal pagi tadi.
Selain itu, polis turut mengeluarkan 778 saman terhadap kira-kira 800 motosikal yang diperiksa dalam operasi yang bermula pada pukul 2.45 pagi itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, ia dijalankan di lima lokasi sekitar ibu negara dengan memfokuskan penunggang motosikal yang melakukan ubah suai ekstrem serta pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, antara kesalahan utama dikesan adalah tiada lesen dan cukai jalan, penggunaan ekzos diubah suai, tayar terlalu kecil atau ‘tayar sotong’ serta motosikal tanpa brek belakang yang dipercayai disengajakan.
“Kebanyakan yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun. Alasan yang diberikan hampir sama, kononnya ubah suai ekzos, tayar sotong dan tiada brek belakang hanya untuk suka-suka serta terpengaruh dengan rakan.
“Ada yang mendakwa brek belakang rosak sedangkan pemeriksaan mendapati komponen itu memang dibuang sepenuhnya. Kalau rosak, sepatutnya ditukar tetapi ini memang kosong,” katanya ketika ditemui.
Mohd. Zamzuri berkata, tindakan menanggalkan komponen keselamatan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa penunggang dan pengguna jalan raya lain lain.
“Ini terutama apabila motosikal digunakan untuk membawa pembonceng,” katanya.
Menurutnya, operasi dilaksanakan susulan aduan orang awam termasuk penghuni hotel berhubung bunyi bising ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman awam.
“Ekzos ‘perang’ ini kebanyakannya dipasang sendiri dan diubah suai di bengkel dengan harga sekitar RM300 hingga RM600.
“Kesemua motosikal yang disita akan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut termasuk oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya. – UTUSAN










