PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menjalankan siasatan berhubung dakwaan aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengenai isu pengubahan wang haram melibatkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyiasat sebarang dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa sekiranya disokong oleh maklumat dan bukti yang sahih.
Katanya, setakat ini, SPRM masih belum menerima sebarang aduan rasmi atau bukti dokumentasi berkaitan perkara tersebut.
“SPRM mengambil maklum laporan media berhubung dakwaan oleh seorang aktivis mengai aliran masuk tunai yang besar melibatkan seorang pegawai kanan tentera serta pihak-pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azam berkata, SPRM turut menjemput aktivis berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan, untuk mengemukakan aduan rasmi beserta bukti sokongan.
Katanya, ia bagi membolehkan perkara berkenaan dinilai dan diambil tindakan selaras dengan undang-undang.
“Semua siasatan SPRM dijalankan secara bebas dan profesional, serta berasaskan fakta dan bukti semata-mata,” katanya.
Badrul Hisham hari ini laporan polis dibuat terhadap seorang pegawai kanan ATM berhubung dakwaan berkaitan isu pengubahan wang haram.
Laporan dibuat beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini. – UTUSAN









