SHAH ALAM: Polis mengesahkan terdapat lima kesan tembakan dari jarak dekat pada badan lelaki berusia 26 tahun yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah pacuan empat roda di Taman Mesra Indah, Klang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, malah, mangsa juga dikenal pasti mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa mempunyai kaitan dengan aktiviti dadah, kongsi gelap, perebutan kawasan dan sebagainya.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat. Polis menyiasat dari seluruh aspek dan pada peringkat awal tidak wajar untuk terus menjurus kepada isu gangsterisme. Masih terlalu awal.
“Jika saya komen secara khusus, ia seolah-olah menunjukkan kami sudah menjurus ke satu arah. Siasatan masih terbuka,” Hasil siasatan juga mendapati mangsa tiada masalah kewangan, namun polis masih meneliti semua latar belakang dan pergerakannya sebelum kejadian,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki didapati tidak sedarkan diri dipercayai ditembak.
Shazeli ketika itu memberitahu, beliau mengesahkan kejadian tersebut apabila menerima maklumat daripada MERS 999 berkaitan kejadian tembak di kawasan berkenaan kira-kira pukul 8.35 malam.
Dalam pada itu, Shazeli memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti identiti suspek terlibat selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta keterangan saksi bagi mengesan suspek.
Mengulas mengenai kes tembakan di sebuah stesen minyak di Klang dua minggu lalu, beliau memberitahu, suspek yang ditahan sebelum ini diberikan jamin polis kerana tiada keterangan yang mengaitkan mereka dengan kejadian tersebut. – UTUSAN










