PETALING JAYA: Sebuah telefon bimbit yang dipercayai mengandungi rakaman audio berkaitan kes insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu telah diserahkan kepada polis bagi tujuan siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M. Kumar berkata, ahli keluarga kepada tiga lelaki yang terlibat dalam insiden tembakan itu telah hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada pukul 10.30 pagi hari ini.
Jelasnya, sebuah telefon bimbit yang dipercayai mengandungi rakaman audio berkaitan kes tersebut telah diserahkan oleh salah seorang ahli keluarga.
“Selain itu, sampel suara saksi berkenaan turut diambil dengan bantuan CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi tujuan analisis.
“Rakaman percakapan tiga ahli keluarga si mati juga direkodkan pada hari sama dengan kehadiran tiga orang peguam,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kumar menegaskan, siasatan yang kini diambil alih sepenuhnya oleh Pasukan Siasatan Khas, JSJ Bukit Aman akan dijalankan secara adil dan profesional berpandukan undang-undang sedia ada.
“Setakat ini, percakapan tujuh saksi telah direkodkan, terdiri daripada tiga ahli keluarga si mati dan empat pegawai perubatan,” katanya. – UTUSAN









