Kes tembak Durian Tunggal di peringkat lengkapkan bukti teknikal

Kes tembak Durian Tunggal di peringkat lengkapkan bukti teknikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lalu kini di peringkat melengkapkan pembuktian teknikal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis sedang menunggu dua laporan penting iaitu berkaitan patologi daripada Hospital Melaka serta laporan forensik balistik dan ‘gun shot residue’ daripada Jabatan Kimia.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menekankan kepentingan memberi perhatian serius terhadap perkara dibangkitkan waris mangsa berhubung insiden itu.

“Saya ingin maklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan siasatan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang diketuai pegawai kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner.

“Dari segi prosedur perundangan, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebanyak dua kali, pada 16 dan 29 Disember,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Saifuddin, proses kini tertumpu untuk melengkapkan pembuktian teknikal.

“Polis sedang menunggu laporan pakar yang kritikal iaitu laporan patologi dari Hospital Melaka serta laporan balistik dan ‘gun shot residue’ dari Jabatan Kimia.

“Setelah diperoleh, kertas siasatan akan dirujuk semula oleh pasukan petugas khas kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk arahan lanjut selaras kuasa pendakwa raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah Saifuddin, sekiranya fakta kes dan bukti saintifik memenuhi elemen pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, proses seterusnya akan dijalankan mengikut lunas undang-undang.

“Jawatankuasa ini memastikan siasatan dilakukan dengan tahap kredibiliti tertinggi, telus dan tanpa kompromi, berasaskan prinsip ‘equality before the law’ serta Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

SN Rayer (PH-Jelutong) mencelah mengenai dakwaan isu ‘double standard’ dalam kes Durian Tunggal susulan anggota polis yang terbabit tidak direman.

Malah kata Rayer, ia berbeza dengan satu kes di Kedah melibatkan seorang gadis berusia 16 tahun yang ditahan sembilan hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.

Menjawab isu itu, Saifuddin berkata, sukar untuk memberikan jawapan jelas kerana kedua-dua kes adalah berbeza.

“Mengapa tidak lakukan perkara sama dalam kes Durian Tunggal? Apabila perkara itu dibawa ke khalayak, polis Bukit Aman segera menubuhkan jawatankuasa khas dan terus menjalankan siasatan.

“Dua kali saya sebut, kertas siasatan sudah dihantar kepada Peguam Negara dan proses melengkapkan siasatan tidak terganggu. Kita menunggu laporan balistik dan forensik.

“Jika Peguam Negara menggunakan kuasa di bawah Perkara 145, kita akan mengikut proses itu. Oleh itu, saya tidak boleh memberikan jawapan jelas bahawa kes budak perempuan di Kedah berbeza dengan kes ini kerana undang-undangnya berbeza,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN