PUTRAJAYA: Pasukan siasatan khas yang ditubuhkan Bukit Aman mempunyai tertib dan proses kerja tersendiri dalam menjalankan siasatan berhubung insiden tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan akan dilakukan secara menyeluruh berdasarkan keterangan dan penemuan, termasuk melibatkan anggota polis yang terbabit dalam operasi berkenaan.
“Saya percaya keluarga telah melalui peguam dan bercakap tentang adanya rakaman audio dan sebagainya. Semua itu akan dibawa ke dalam siasatan termasuklah pasukan polis yang terlibat dalam operasi itu, semuanya akan diambil.
“Itu merupakan ruang lingkup dalam jawatankuasa siasatan khas yang telah diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk M Kumar). Saya tak akan ‘jump the gun’, mereka ada tertib dari segi proses kerja untuk mengambil keterangan, mereka akan mengikut prosedur pasukan polis,” katanya.
Saifuddin berkata demikian menerusi sidang akhbar ketika ditanya berhubung perkembangan siasatan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan akan menjalankan tugas berdasarkan prosedur sedia ada termasuk mengambil keterangan semua pihak berkaitan.
“Kalau ada yang terlibat, itu adalah berdasarkan keterangan dan penemuan oleh pasukan khas. Tentu lah di bawah pasukan polis ini ada pelbagai (prosedur), ada ‘standing order IGP’, ia ada macam-macam peraturan,” ujarnya.
Saifuddin turut menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan dalam proses siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan siasatan khas yang dilantik.
“Apabila jawatankuasa itu berfungsi, bila mereka mengambil keterangan, sekali gus mereka akan menentukan hala tuju siasatan. Jadi sebagai menteri, tak kena kalau saya terus klasifikasikan siasatan di bawah mana-mana seksyen. Itu sudah memasuki bidang kuasa siasatan,” katanya.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima rakaman audio yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, yang diserahkan sendiri oleh ahli keluarga mangsa.
Bahan bukti berkenaan terkandung dalam telefon bimbit yang diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Pada 3 Disember lalu, JSJ Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov lepas, yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis. – UTUSAN









