SHAH ALAM: Polis membebaskan enam lelaki warga India selepas rakaman keterangan mereka selesai dijalankan berhubung siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Puchong, Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua individu tersebut merupakan rakan serumah kepada suspek utama pembunuhan utama.
”Setakat ini, keterangan yang diperoleh susulan tangkapan dijalankan tidak membantu siasatan memastikan sama ada suspek yang terlibat. Justeru, enam individu terbabit dibebaskan dengan jaminan polis sehingga lain-lain keterangan diperolehi,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Malah, katanya bagaimanapun polis masih menyiasat motif kejadian dan percaya akan memperoleh maklumat penglibatan suspek utama dalam masa terdekat.
Minggu lalu Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan maut disyaki dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di Puchong Jaya, Puchong.
Mangsa ditemukan kira-kira 8.30 malam sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
Anggota dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama seekor anjing pengesan juga berada di lokasi untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa bekerja di negara ini dan menyewa bilik di rumah kedai berkenaan. – UTUSAN










