SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan kegiatan penyeludupan minuman keras apabila merampas sebanyak 104,544 liter bir dalam serbuan ke atas sebuah gudang tidak bernama di Lorong Ding Lik Kwong 31A3 di sini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Siti Mang berkata kesemua minuman keras itu dijumpai disembunyikan di dalam enam kontena bersaiz 20 kaki ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 12.05 pagi, 24 November lalu oleh ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan dibantu Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Sarawak dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA).
“Modus operandi adalah menyembunyikan kontena-kontena berisi minuman keras seludup di gudang transit sebelum diedarkan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah pemeriksaan sepenuhnya ke atas kontena tersebut masih dijalankan bagi mengesahkan kuantiti, nilai dan cukai yang terlibat.
Siti berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu melindungi, menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan.
Katanya bagi kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000, yang mana lebih besar.
Selain itu penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










