Imigresen siasat dalang salah guna PLKS pembantu rumah

Imigresen siasat dalang salah guna PLKS pembantu rumah

ZAKARIA Shaaban (tengah) hadir pada Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Imigresen Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengelakkan modus operandi menyalah guna Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori pembantu rumah berulang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menyedari modus operandi menyalahgunakan PLKS sebagai pembantu rumah namun ia tidak begitu serius. 

Katanya, tindakan penguatkuasaan diperhebat pihaknya dan setiap operasi dijalankan pasti akan menemukan taktik sama.

“Tetapi kami tetap akan memantau secara serius supaya modus operandi seperti ini tidak berterusan dan kami akan siasat lebih lanjut termasuk mengenal pasti dalang dan sebagainya.

“Malah, kami juga percaya ada sebahagian termasuk pelayan pelanggan dan sebagainya menggunakan pas PLKS pembantu rumah tetapi bekerja di tempat lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan Perayaan Deepavali Imigresen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat semalam, pihaknya melaksanakan sebanyak 12,462 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan terhadap 213,454 warga asing.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 45,447 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, manakala 1,931 majikan turut dikenakan tindakan termasuk kompaun dan pendakwaan di mahkamah. 

“Kesalahan paling ketara yang dikesan ialah ketiadaan dokumen perjalanan sah serta penyalahgunaan pas, diikuti kes-kes jenayah lain termasuk dadah yang diterima daripada agensi penguat kuasa lain sebelum diserahkan semula kepada Imigresen untuk tindakan lanjut seperti pembatalan pas dan pengusiran.

“Tidak kira siapa sama ada Rohingya, Bangladesh, Indonesia atau mana-mana warga asing, jika mereka tidak mematuhi peraturan imigresen dan berada secara tidak sah, tindakan tegas akan diambil pada bila-bila masa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pembantu rumah warga Filipina ditahan kerana disyaki menyalah gunakan pas untuk tinggal di Malaysia dan menjadi presiden sebuah pertubuhan  bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dilaporkan berkata, wanita berusia 50-an itu ditahan ketika sedang berkumpul bersama beberapa rakan senegara di sebuah sekolah antarabangsa di sini, semalam.

Menurutnya, wanita terbabit masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) kira-kira dua dekad lalu dan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori pembantu rumah untuk terus tinggal di Malaysia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×