Sisa elektronik rampasan tertinggi polis, bernilai lebih RM4 bilion

Sisa elektronik rampasan tertinggi polis, bernilai lebih RM4 bilion

E-waste
AZMI Abu Kassim memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada majlis Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Pasukan Polis Marin Ke-78 di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Rampasan terkumpul sisa elektronik atau e-waste di seluruh negara berjumlah lebih RM4 bilion direkodkan dalam tempoh sembilan bulan sejak Januari lalu.

Ia merupakan sebahagian besar daripada rampasan pelbagai barangan terlarang  terkumpul bernilai lebih RM6 bilion oleh pasukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh sama.

Pengarahnya, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, rampasan tersebut dibuat terhadap sisa-sisa yang dibawa masuk ke negara ini untuk diproses secara haram.

“E-waste merupakan rampasan paling tinggi, kita semua sedia maklum Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya mengeluarkan 156 lesen kepada syarikat-syarikat yang diberi kebenaran untuk menguruskan e-waste dalam negara.

“Tidak dibenarkan e-waste dari luar negara dibawa masuk, namun perkara itu berlaku dan polis mengambil langkah-langkah untuk mengekang daripada kemasukan sisa berkenaan dan kita tidak akan berhenti,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-78 Pasukan Polis Marin, hari ini.

Tambahnya, pihaknya turut mengesan aktiviti penyeludupan melibatkan modus operandi pemindahan barang daripada kapal kepada bot-bot kecil sebelum dibawa masuk melalui jeti dan pangkalan persendirian.

Terdahulu dalam teks ucapan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail yang dibacakan beliau menyatakan Pasukan Polis Marin menyelesaikan 7,136 kes  sehingga Selasa lalu.

Menurutnya, ia melibatkan rampasan berjumlah RM491.1 juta di kawasan perairan 12 batu nautika dari pantai di seluruh negara.

“Ia melibatkan aktiviti seperti penyeludupan barang kawalan, dadah, hidupan liar dan mercun, jenayah pemerdagangan orang, pembalakan haram serta pencerobohan migran.

“Justeru, kewujudan Pasukan Polis Marin dalam mengawal sempadan perairan negara amat diperlukan bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” tegasnya.

Tambahnya, kawalan keselamatan perairan negara turut melibatkan perkongsian maklumat dengan agensi penguatkuasaan maritim serantau seperti Kepolisan Perairan dan Udara Indonesia, Polis Negara Filipina, Polis Marin Diraja Thailand, Polis Pengawal Pantai Singapura dan Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN