KUALA LUMPUR: Seramai 1,303 individu ditahan polis dipercayai terlibat kes penipuan dalam talian dalam menerusi penguatkuasaan Op Mule NSRC bermula 22 hingga 22 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi itu dilancarkan bagi membanteras kegiatan jenayah komersil melibatkan akaun keldai khususnya bagi kes-kes yang dilaporkan oleh pihak National Scam Response Centre (NSRC).
Katanya, sepanjang operasi, seramai 1,303 individu ditahan menakala sebanyak 778 kertas siasatan dibuka di seluruh negara.
“Operasi ini adalah bertujuan untuk menjalankan serbuan, tangkapan dan rampasan terhadap ahli-ahli sindiket akaun keldai.
“Ia sama ada mereka terlibat dalam penipuan dalam talian, bahagian kewangan dan warga negara asing yang boleh disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 424A, 424B, 424C Kanun Keseksaan.
“Seramai 2,062 suspek dikenal pasti terlibat namun kita berjaya menahan seramai 1,303 individu manakala 759 orang lagi masih dikesan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini hari ini.
Menurutnya, tangkapan paling ramai adalah di Sabah iaitu 475 orang diikuti Sarawak (426 orang), Johor (275 orang) dan Selangor (222 orang).
Jelasnya, pihak JSJK mendapati ramai individu terlibat menjadi keldai akaun di Sabah dan Sarawak kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan berkaitan kesalahan ini. – UTUSAN










