JOHOR BAHRU: Seorang wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud, tahun lalu.
Tertuduh, Kamiliaelina Kamaruzaman, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak bekerja itu membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik seorang wanita berjumlah RM1,000 ke dalam akaun Touch ’n Go miliknya di sebuah rumah di Jalan Selasih 35, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang di sini pada 30 Januari 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, pada 28 Januari 2025, mangsa melihat iklan tawaran kerja dari rumah menerusi Facebook sebelum dihubungkan ke aplikasi Telegram menggunakan nama Horizon Media dan Handmade MY.
Mangsa kemudian dimaklumkan oleh pentadbir kumpulan Telegram berkenaan bahawa dia perlu melaksanakan tugasan membuat penilaian hotel dengan modal RM1,000 yang dijanjikan pulangan RM1,400 sementara menunggu tugasan kerja.
Mangsa telah membuat pindahan wang RM1,000 ke akaun Touch ’n Go milik tertuduh sebelum diminta membuat beberapa lagi pembayaran berjumlah RM4,800 ke akaun individu lain bagi tugasan berikutnya.
Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan RM13,800 bagi mendapatkan semula modal dan keuntungan yang dijanjikan dan tidak meneruskan pembayaran.
Mangsa mengalami kerugian RM5,800 yang merupakan wang simpanannya kemudiannya bertindak membuat laporan polis. – UTUSAN










