PETALING JAYA: Sebanyak 395 premis perjudian yang disyaki beroperasi tanpa lesen di seluruh negara digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Dadu Mega pada Sabtu dan Ahad lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 272 premis menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen melibatkan 245 premis penjualan loteri awam, perjudian dalam talian (20 premis), pusat hiburan keluarga (lima premis) dan dua premis yang dijadikan pusat panggilan (calling centre) untuk aktiviti perjudian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, hasil serbuan itu, seramai 328 orang yang terdiri daripada 286 lelaki dan 42 orang wanita disyaki pemilik premis, penjaga premis, pekerja dan pemain dalam aktiviti perjudian tersebut ditahan.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 258 warga tempatan dan 70 orang melibatkan warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai, beberapa peralatan komputer, telefon bimbit dan mesin perjudian.
Kumar berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 melibatkan Seksyen 4A(a), Seksyen 9(1), Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g).
“Siasatan turun dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Hiburan /Ordinan Hiburan Negeri,” jelasnya. – UTUSAN










