Syamsul Haris: Beberapa bukti termasuk rakaman perbualan diserah

Syamsul Haris: Beberapa bukti termasuk rakaman perbualan diserah

NARAN Singh menunjukkan 'pendrive' sebagai bahan bukti yang akan diserahkan kepada pihak polis ketika sidang media proses bedah siasat Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di jalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur. Turut bersama Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, Ummu Haiman Bee Daulatgun (kanan). - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa bukti penting termasuk rakaman perbualan membabitkan kejadian yang menimpa Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 28 Julai lalu. 

Beberapa bukti itu terdiri daripada ‘pendrive’ audio rakaman perbualan saksi kejadian, transkrip perbualan serta gambar-gambar Syamsul Haris sebelum dan selepas kematiannya. 

Peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, pihaknya akan menyerahkan bukti-bukti berkenaan kepada Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fazley Ab. Rahman yang turut berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.

“Dalam ini ada USB (pemacu pena) yang mempunyai perbualan individu ‘A’ yang menceritakan kejadian yang berlaku pada Syamsul Haris. 

“Kita akan serahkan bersama transkrip setebal 44 muka surat perbualan ini beserta gambar Syamsul Haris sebelum dan selepas kejadian kepada KPP D5, Datuk Fazley.

“Jadi kita harap beberapa bukti ini akan jadi petunjuk bagi kes ini,” katanya kepada pemberita di perkarangan IPFN di sini hari ini. 

Menurutnya, setakat ini proses bedah siasat Allahyarham Syamsul Haris berjalan dengan lancar. 

“Pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Syukri memberikan kerjasama baik kepada pihak kami. 

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan nanti,” katanya. 

Terdahulu, tiga pakar dari IPFN akan menjalankan autopsi ke atas jenazah Allahyarham Syamsul Haris

Tinjauan wartawan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur mendapati ahli keluarga dan ibu Allahyarham tiba di lokasi kira-kira 8 pagi.

Peguam, Naran Singh dilapor berkata, proses bedah siasat bermula kira-kira pukul 9 pagi yang diketuai oleh pakar patologi HKL, Dr. Siew Sheue Feng serta dibantu dia pakar lain selain kehadiran Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh sebagai wakil ahli keluarga Syamsul Haris. 

Pada 19 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN