KUALA LUMPUR: Jenazah pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini kira-kira pukul 5.15 petang.
Van membawa jenazah Allahyarham diiringi empat juruiring menaiki motosikal serta tiga kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih dekat sini.
Terdahulu, proses bedah siasat kedua dijalankan selama tujuh jam selesai pada 4 petang.
Media semalam melaporkan jenazah Syamsul Haris tiba di pada 10.27 pagi selepas proses penggalian kubur Allahyarham bermula 8.15 pagi selesai pada 9.22 pagi.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu dekat sini. – UTUSAN










