KUALA LUMPUR: Perjuangan ibu kepada Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun membolehkan Allahyarham memperoleh keadilan sewajarnya dan memastikan pelaku diheret ke muka pengadilan.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-PH) berkata, kejadian yang menimpa Syamsul membuktikan kegagalan dalam sistem pendidikan negara.
Kata beliau, sekiranya Ummu Haiman tidak gigih berjuang dan berputus asa dalam menuntut keadilan buat anaknya itu maka keadilan tidak akan dapat dikecapi oleh mangsa.
“Ada yang kata (Syamsul meninggal) strok haba, sawan (dan) kesihatan sendiri. Menteri pun jawab bahawa ia tidak ada kena mengena dengan buli, nasib baik ada ibu mangsa yang tidak pernah putus asa, tidak pernah menerima jawapan (kematian anaknya) tidak ada kena mengena dengan buli.
“Sampai sanggup menggali semula kubur untuk mendapat keadilan demi anaknya. Keputusan bedah siasat membuktikkan kematian (Syamsul) disebabkan kecederaan di leher dan badan, barulah Pejabat Peguam Negara mengklasifikasikan (sebagai) kes buli atau bunuh.
“Bayangkan kalau ibu mangsa tidak ‘mengetuk’ pejabat menteri, media, pergi ke hulu ke hilir. Besar kemungkinan si mati tidak akan mendapat keadilan, besar kemungkinan kita tidak akan tahu dan perbahasan ini tidak berlaku. Ini menunjukkan bahawa ada sistemik failure dalam insititusi pendidikan kita yang wajar ditangani,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 yang menyediakan rangka undang-undang untuk mencegah dan menangani kejadian buli di institusi pendidikan kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta, serta pusat tahanan dan kebajikan kanak-kanak.
RUU itu mentakrifkan buli secara luas sebagai apa-apa perbuatan disengajakan yang menyebabkan mudarat fizikal, psikologi atau sosial kepada mangsa, sama ada berlaku berulang kali atau hanya satu insiden serius.
Takrif ini merangkumi kecederaan fizikal, penghinaan atau kata-kata kesat, pengasingan sosial, diskriminasi berdasarkan jantina, kaum, agama atau kecacatan, serta buli siber melalui komunikasi elektronik atau digital.
Malah, RUU tersebut menyatakan tentang penubuhan sebuah tribunal yang akan mendengar aduan daripada mangsa atau ibu bapa dan penjaga mereka dan diberi bidang kuasa luas termasuk mengarahkan permohonan maaf, memadam kandungan dalam talian, serta memberikan pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa buli.
Syed Saddiq mencadangkan supaya RUU tersebut mengandungi tindakan terhadap mereka yang melindungi pembuli.
“Masalah buli bukan melibatkan pembuli semata-mata tetapi sistem sokongan yang menyeluruh. Contoh, kalau sekolah atau universiti culas, kes di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mengerikan.
“Di mana si mati boleh dihilangkan berhari-hari, tiada orang sedar, boleh dibawa ke klinik luar dan dibawa masuk balik, berhari-hari didera (dan) apa tindakan kawan-kawan serta pengawas? (Mereka) tutup mata.
“Mereka tidak takut kerana tindakan jenayah tidak diambil ke atas mereka, terapi mereka bersekongkol. Sebab itu saya cadangkan akta ini diperluaskan, jangan hanya ambil tindakan ke atas pembuli tetapi turut sistem sokongan pembuli,” jelasnya.
Tambahnya, bayaran penalti sehingga RM250,000 terlalu kecil dan perlu ditingkatkan.
“Kalau seseorang pembuli datang dari keluarga yang sangat kaya dan kerap membuli, pembayaran RM250,000 ini kalau ibu bapanya jutawan, sangat kecil. Saya cadangkan ia dinaikkan,” katanya. – UTUSAN










