KAJANG: Jenazah pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, selamat dikebumikan semula kira-kira 6.30 petang tadi.
Jenazah tiba ke ‘kediaman’ terakhirnya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih di sini pada 6.09 petang dengan diiringi sepasukan juruiring Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lebih 20 ahli keluarga Allahyarham dilihat menunggu di luar kawasan perkuburan bersama pengamal media bagi menanti upacara pengebumian semula itu selesai.
Ibu Allahyarham dilihat berjalan keluar dari tanah perkuburan berkenaan kira 6.48 petang bersama peguam dan beberapa ahli keluarga lain.
Tinjauan di lokasi mendapati sepasukan pegawai dan anggota PDRM membuat kawalan di sekitar perimeter kawasan perkuburan itu.
Terdahulu, proses bedah siasat kedua selesai dijalankan ke atas jasad Allahyarham di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur kira-kira 4 petang.
Konvoi membawa jenazah dilihat keluar daripada pekarangan IPFN pada 5.15 petang menaiki van jenazah PDRM. – UTUSAN










