Remaja cedera dibelasah bapa, gara-gara lambat panaskan lauk

Remaja cedera dibelasah bapa, gara-gara lambat panaskan lauk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera selepas dipercayai dipukul dengan kerusi dan ditampar bapanya hanya kerana lambat memanaskan lauk di rumah mereka di Kampung Panchor di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang, mangsa yang merupakan anak kedua daripada lima beradik sedang menyiapkan kerja sekolah, sebelum diminta suspek berusia 40 tahun memanaskan lauk untuk dihantar kepada ibunya yang bekerja.

Menurut sumber, gadis itu bertindak mencampakkan pen di tangannya sebagai tanda protes sehingga membuatkan bapanya naik angin.

“Suspek menampar muka anaknya hingga bengkak di pipi serta luka pada bibir sebelum membaling kerusi plastik yang terkena pada badan mangsa.

“Lelaki itu kemudian menghentak satu lagi kerusi ke bahagian belakang badan dan bahu kiri remaja terbabit menyebabkan tangannya sakit,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada hari sama sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek petang, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. Suspek akan direman di Mahkamah Alor Gajah esok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×