BATU PAHAT: Seorang pelajar wanita mengambil kesempatan ketiadaan rakan dalam rumah yang disewa mereka untuk membawa masuk seorang pelajar lelaki dalam kejadian petang semalam.
Menurut sumber Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kejadian pukul 3.30 petang itu dilaporkan oleh penduduk setempat yang sudah lama memerhatikan gelagat pasangan berumur sekitar 20 tahun itu.
Katanya, ketika serbuan dilakukan anggota penguatkuasa JAINJ, pelajar wanita yang membuka pintu rumah hanya berpakaian seluar pendek dan berbaju T manakala pasangan lelakinya berkain pelekat serta berbaju T sedang duduk di atas sofa.
“Pemeriksaan hanya menemui mereka berdua yang berada di dalam rumah kerana tiga rakan penyewa lain keluar ke bandar berdekatan.
“Kesempatan itu digunakan oleh pelajar wanita berkenaan menghubungi pasangannya yang tinggal antara dua hingga tiga kilometer daripada rumah sewa berkenaan untuk datang segera,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Kata sumber itu lagi, pasangan kekasih tersebut memberi alasan bahawa mereka berdua sedang berbincang soal pelajaran ketika serbuan dilakukan.
Ujarnya, apabila diminta menukar pakaian, lelaki itu menyatakan hanya menggunakan kain pelekat kerana baru selesai sembahyang di surau berdekatan rumah.
“Kesalahan khalwat boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN










