PONTIAN: Seorang lelaki berstatus suami ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita berstatus janda di dalam sebuah bilik hotel di daerah ini, malam tadi.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan yang dilakukan pihaknya pada pukul 10.15 malam itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam.
“Setelah penguatkuasa memperkenalkan diri dan mengetuk pintu, ia seorang wanita yang berpakaian baju lengan panjang dan skirt labuh, manakala keadaan dalam bilik samar-samar.
“Apabila lampu dibuka, seorang lelaki dilihat sedang duduk di katil berdepan televisyen dengan memakai seluar panjang dan kemeja-T,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, kedua-duanya mengaku bukan suami isteri.
“Lelaki berusia 40-an itu berstatus suami orang, manakala wanita yang juga berusia 40-an berstatus janda dan berasal dari negeri lain. Pasangan terbabit memberi alasan duduk berdua dalam bilik berkenaan untuk berbincang soal perkahwinan.
“JAINJ menahan pasangan terbabit dan disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki berkhalwat,” katanya. – UTUSAN










