Pelaburan MBI: Pembekuan, sitaan aset dianggar bernilai RM6.64 bilion

Pelaburan MBI: Pembekuan, sitaan aset dianggar bernilai RM6.64 bilion

MOHD. Khalid Ismail sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah pembekuan dan sitaan aset dipercayai mempunyai kaitan dengan pelaburan MBI menerusi Op Northern Star setakat ini dianggarkan bernilai RM6.64 bilion. 

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, dalam operasi terbaharu pada 26 Julai hingga 15 Ogos lalu, pihaknya berjaya membeku dan menyita sebanyak 88 akaun bank berjumlah RM10.53 juta; serta 398 juta unit saham dianggarkan bernilai RM86,857,452.00 daripada dua syarikat di Bursa Malaysia.

“Turut disita adalah wang tunai RM300,600, tujuh kenderaan mewah, lima utas jam tangan mewah, dua beg tangan berjenama, enam telefon bimbit dan pelbagai dokumen berkaitan.

“Secara keseluruhan, jumlah pembekuan dan penyitaan sejak Op Northern Star dilaksanakan pada Mac lalu adalah sebanyak RM6.64 bilion,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini. 

Menurutnya, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) turut menyita sebuah syarikat pemaju hartanah yang terlibat dalam aktiviti berkaitan dengan menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang disita meningkat kepada sembilan buah syarikat.

Jelasnya, lima syarikat yang disita adalah berasaskan hartanah; dua perniagaan berasaskan perladangan kelapa sawit, kelapa, albasia, getah dan durian dan dua perniagaan berasaskan perhotelan.

“Kebun durian berkeluasan 19,720.038 ekar membabitkan kawasan di Balik Pulau, Pulau Pinang (55 ekar); Kulim, Kedah (21 ekar) dan Gua Musang, Kelantan (19,644.038 ekar).

“Pasukan AMLA komited untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh dan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menyimpan, memindah, menggunakan atau membawa masuk dan keluar wang yang berasal daripada aktiviti haram yang melanggar undang-undang,” katanya. 

Pada 30 Mei lalu, AMLA menahan 17 individu membabitkan kes penipuan pelaburan MBI dengan keseluruhan aset dibekukan dan disita berjumlah RM3.81 bilion.

Tangkapan itu membabitkan usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air menerusi Op Northern Star. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN