Lima individu mahu pulang selepas diseksa sindiket penipuan Kemboja 

Lima individu mahu pulang selepas diseksa sindiket penipuan Kemboja 

HISHAMUDDIN Hashim (empat dari kanan) bersama lima mangsa penipuan kerja di Kemboja semasa sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cita-cita lima rakan ingin meraih pendapatan lumayan sebagai penterjemah dan pekerja kasino di Kemboja mengundang padah apabila mereka dipaksa bekerja lebih 17 jam sehari.

Kesemua mereka terdiri lelaki berusia 30-an turut didakwa didera selain tidak dibayar gaji selepas lima bulan terperangkap di negara itu.

Ahli keluarga salah seorang mangsa dikenali sebagai Koh berkata, dua abangnya dipercayai telah pergi ke negara itu sejak Mac lalu bagi mencari pendapatan lebih.

Katanya, dua abangnya membuat keputusan untuk bekerja di negara itu selepas mengikut ajakan rakan mereka selepas ditawarkan bekerja sebagai penterjemah.

“Ibu saya meninggal dunia sejak saya berusia empat tahun dan selepas itu, dua abang saya ini yang menjaga keperluan harian walaupun saya tinggal bersama saudara.

“Pada awalnya, saya tidak bersetuju dengan keputusan dua abang untuk bekerja di sana kerana banyak kes penipuan namun mereka tetap mahu pergi.

“Sejak itu, saya tidak lagi dapat berhubung dengan mereka sehingga kini dan kali terakhir saya berjumpa mereka adalah Februari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Ibu kepada seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Yap, 55, berkata, dia kali terakhir dihubungi anak lelakinya pada minggu lalu yang meminta pertolongan untuk pulang ke negara ini.

Katanya, anaknya telah ke negara berkenaan pada Mac lalu kerana mahu mencari pendapatan lebih selepas mengalami masalah kewangan.

“Dalam kumpulan ini, hanya anak saya sahaja yang dapat berhubung dengan keluarga selain meminta saya memaklumkan keadaan rakan-rakannya kepada ahli keluarga mereka.

“Di sana, mereka mendakwa terseksa kerana bekerja lebih masa tanpa dibayar gaji selain tidak diberi makan dan minum,” jelasnya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa dipercayai terpedaya dengan tawaran kerja itu selepas mengalami masalah kewangan yang kritikal.

Katanya, mereka yang terpedaya ini akan dibawa ke sebuah kawasan sempadan Kemboja–Thailand yang kini menjadi tumpuan kumpulan penipuan dalam talian (scammer).

“Kita akan berusaha membantu dan menyalurkan maklumat lima mangsa itu kepada kementerian dan pihak berkuasa di Kemboja selain Kedutaan Malaysia di Kemboja untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN