Rugi lebih RM14 juta, MHO mohon semak semula keputusan NFA

Rugi lebih RM14 juta, MHO mohon semak semula keputusan NFA

HISHAMUDDIN Hashim (tengah, depan) bersama sebahagian 228 mangsa yang terlibat dalam penipuan skim pelaburan mesin layan diri melibatkan jumlah sebanyak RM14.3 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon agar keputusan No Further Action (NFA) terhadap kes penipuan skim pelaburan melibatkan 228 mangsa dengan kerugian sebanyak RM14.3 juta disemak semula.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, siasatan diperlukan untuk mengenal pasti jenayah yang dilakukan selain memberikan keadilan kepada pengadu.

Katanya, terdapat beberapa perundangan tambahan lain yang perlu dibawa antaranya Akta Skim Kepentingan 2016 di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kami membuat keputusan menulis surat representasi untuk memohon pertimbangan semula keputusan NFA yang dibuat.

“Kami mahu supaya Timbalan Pendakwa Raya dapat lihat unjuran-unjuran yang kami bawa supaya ada siasatan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Aduan rasmi itu dihantar kepada SSM bagi menjalankan siasatan terhadap tiga syarikat yang didakwa menawarkan skim pelaburan berbentuk vending machine dan mesin kopi layan diri.

Ketiga-tiga syarikat berkenaan dilihat menggunakan corak operasi sama iaitu tawaran pelaburan mesin layan diri dan kopi, di mana pelabur hanya perlu meletakkan modal tanpa perlu mengendalikan operasi.

Dalam pada itu, mangsa, Geetha Muniandy, 41, berkata, selepas melabur sebanyak RM90,000 untuk tiga mesin layan diri, beliau hanya menerima pendapatan pada dua bulan pertama.

Beliau yang mula melabur pada Jun 2020 berkata, pulangan yang dijanjikan oleh pihak syarikat bernilai RM1,500 setiap bulan dengan kontrak selama lima tahun.

“Tetapi masalahnya, saya dapat duit pulangan selama dua bulan sahaja sebelum tertangguh dan menghilangkan diri.

“Yang paling saya kesal, penipuan dokumen itu berlaku depan mata. Dia dapatkan tandatangan peguam dan curi begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ikram Ariff, 37, berkata, pelaburan sebanyak RM30,000 dibuat sebagai inisiatif untuk berdikari selepas kehilangan penglihatan yang berpunca dari penyakit.

Katanya yang kini bergantung kepada keluarga, satu laporan polis telah dihantar namun masih tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap syarikat tersebut.

“Saya dengar pasal pelaburan di radio, sebab itu saya percaya. Tetapi saya tidak sangka jadi macam ini. Sejak melabur pada Disember 2020, saya tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan itu.

“Selama empat tahun, apabila saya hubungi pihak syarikat, mereka berikan jaminan bayaran semula namun mula menghilangkan diri setahun yang lalu.

“Saya sememangnya mengharapkan bayaran semula duit tapi apa yang lebih penting sekarang adalah keadilan, saya nak pihak berkuasa ambil tindakan dan jangan lepas tangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN