Langgar syarat, pembinaan pusat data di Johor diarah henti operasi serta-merta 

Langgar syarat, pembinaan pusat data di Johor diarah henti operasi serta-merta 

MOHD. Jafni Md Shukor meninjau kawasan pembinaan pusat data di Gelang Patah susulan aduan kacau ganggu oleh penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengambil tindakan tegas menghentikan operasi pembinaan sebuah pusat data di kawasan Persiaran Prima Utama, Gelang Patah di sini kerana gagal mematuhi garis panduan dan melanggar syarat ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, ini merupakan pusat data yang pertama diberikan notis berhenti kerja selama dua minggu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, tindakan tegas itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat setempat dibela.

“Notis berhenti kerja dikeluarkan susulan aduan penduduk berhubung isu kacau ganggu kerja pembinaan terutama jalan kotor, ketiadaan pemasangan pagar penghadang (hoarding) serta kerja pembinaan berlarutan hingga lewat malam.

“Justeru, pihak kontraktor pusat data tidak boleh meneruskan pembangunan pusat data itu dalam tempoh dua minggu ini dan wajib menyelesaikan isu yang dibangkitkan termasuk memastikan pembangunan dibuat tidak menjejas kawasan penduduk,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembangunan pusat data berkenaan, hari ini. 

Mohd. Jafni berkata, MBIP juga telah diarahkan mempertingkat pemantauan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) sekiranya terdapat pelanggaran syarat.

Jelasnya, setiap pembangunan pusat data di Johor tertakluk kepada garis panduan ketat dan proses penilaian menyeluruh oleh Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) serta Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN).

“Bagi projek pusat data ini, permohonannya telah melalui proses teliti sejak 2023, dengan kelulusan susun atur pembangunan diberikan pada Jun 2024, diikuti kelulusan Kebenaran Merancang pada Julai lalu.

“Semua syarat teknikal, keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah mandatori untuk dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN