Kes Zara Qairina: Tindakan tatatertib, sekiranya berlaku pelanggaran SOP

Kes Zara Qairina: Tindakan tatatertib, sekiranya berlaku pelanggaran SOP

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia yang terlibat dalam kes siasatan kematian Zara Qairina Mahathir sekiranya didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan sudah dimulakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta pasukan khas yang ditubuhkan.

“Tindakan kita adalah menyiasat segala perkara yang ditetapkan mengikut lunas undang-undang dan SOP. Jika ada perkara bertentangan, kita akan ambil tindakan terhadap pegawai berkaitan.

“Beberapa tindakan perlu kita kaji daripada sudut tatatertib dan saya pun sudah meminta Pengarah JIPS mengambil tindakan yang perlu berdasarkan sejauh mana berlakunya pelanggaran.

“Seperti sedia maklum bahawa ada perkara sebenarnya sudah dilaksanakan, sebagai contoh ibu kepada si mati menandatangani kebenaran dan itu prosedur yang sentiasa kita laksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini, JIPS mengambil keterangan ketua polis daerah (KPD) berpangkat superintenden, ketua bahagian siasatan jenayah daerah (KBSJD) berpangkat asisten superintenden dan pegawai penyiasat berpangkat inspektor.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.

Mohd. Khalid berkata, hasil siasatan akan menentukan tindakan seterusnya yang boleh diambil pihaknya mengikut undang-undang sedia ada.

“Jika ada berlaku beberapa kesilapan, itu perlu dikaji daripada sudut tatatertib. Kita akan membuat perkara yang sepatutnya seperti mana ditetapkan oleh peraturan dan juga undang undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN