PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan nilai rampasan sebanyak RM1.29 bilion membabitkan 4,438 kes dalam tempoh tujuh bulan tahun ini sejak Januari lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jumlah rampasan itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jumlah RM1 bilion dengan jumlah kes sebanyak 4,528 kes.
Katanya, ia menunjukkan cubaan penyeludupan berjaya dikurangkan sebanyak 90 kes atau 1.99 peratus, namun nilai keseluruhan rampasan telah meningkat iaitu sebanyak RM281.93 juta atau 28.02 peratus.
“Sebagai makluman, pada tahun 2025, strategi JKDM telah beralih daripada pendekatan berasaskan output (bilangan kes) kepada pendekatan berasaskan outcome (nilai, duti dan cukai).
“Tumpuan utama diberikan kepada kes-kes berimpak tinggi seperti kes melibatkan kontena yang berskala besar dan bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memaksimumkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan memastikan hasil negara dilindungi dengan lebih menyeluruh.
Katanya, naratif baharu yang dibawa oleh JKDM menggambarkan satu transformasi dalam kaedah penguatkuasaan yang lebih strategik, terancang dan berpaksikan impak.
“Pendekatan ini juga menegaskan kepada masyarakat bahawa kejayaan jabatan tidak lagi hanya diukur daripada jumlah kes semata-mata, sebaliknya dinilai melalui sejauh mana penguatkuasaan berjaya menyekat ketirisan hasil negara serta melumpuhkan sindiket penyeludupan yang bersifat sistematik dan berprofil tinggi,” katanya.
Anis berkata, dalam tempoh tujuh bulan ini juga, lima negeri yang berjaya mencatatkan nilai perolehan barang rampasan termasuk duti dan cukai tertinggi ialah JKDM Selangor sebanyak RM196.24 juta, diikuti JKDM Johor (RM174.83 juta), JKDM Sarawak (RM139.93 juta), JKDM Sabah (RM90.24 juta) serta JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (RM78.24 juta).
“JKDM sentiasa komited untuk meningkatkan kutipan hasil secara berterusan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, demi menyumbang kepada kemakmuran ekonomi, pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambahnya, JKDM merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi-agensi kerajaan lain selaku rakan strategik yang sentiasa bersama dalam memperkukuh usaha penguatkuasaan undang-undang. – UTUSAN










