SEREMBAN: Polis mengesahkan motif utama seorang lelaki dipercayai membunuh anaknya serta menanam mangsa di Rompin, Jempol, sebelum ini adalah berkaitan isu keluarga di antara suspek dengan isterinya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof dilaporkan berkata, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang motif lain memandangkan suspek dalam proses penceraian serta perebutan anak.
“Soal siasat berjalan dengan baik serta motif dipercayai isu keluarga iaitu suspek serta isterinya dalam proses penceraian dan perebutan anak.
“Hasil dari soal siasat yang dijalankan mendapati kejadian di Jempol ialah suspek menanam mayat kanak-kanak berkenaan. Malah, kita dapati sebabnya adalah suspek sudah biasa dengan kawasan di Jempol. Itu sahaja sebabnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, ditemukan meninggal dunia di daerah Jempol.
Suspek kini ditahan reman di Jempol selama tujuh hari bermula 1 Ogos lalu hingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil bedah siasat ke atas si mati (kanak-kanak) di Hospital Rembau, Selasa lalu mengesahkan punca kematian si mati adalah disebabkan oleh tekanan di leher iaitu akibat jerutan pengikat kabel.
Malah, pakar patologis menganggarkan mangsa meninggal dunia pada 23 Julai di antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi. – UTUSAN







