Ibu Syamsul Haris masih tunggu kubur anak digali semula 

Ibu Syamsul Haris masih tunggu kubur anak digali semula 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor berharap kubur anaknya dapat digali semula dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dikeluarkan semalam. 

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, setakat ini tiada wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghubungi pihaknya bagi memaklumkan perkembangan berkaitan perkara itu. 

“Kami berharap kubur arwah (Syamsul Haris) dapat digali semula dalam tempoh 48 jam ini seperti yang diminta kami dalam perintah mahkamah.

“Setakat ini pihak saya atau melalui peguam belum lagi dimaklumkan apa-apa mengenai proses gali kubur itu. Tempoh 24 jam telah berlalu, kami masih menunggu, katanya,” ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini. 

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam  memerintahkan kubur Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.

Beliau dilaporkan berkata, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan. 

Dalam prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden. 

  • Perintah untuk menggali keluar semula jasad Syamsul Haris Shamsudin, yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua di bawah penyeliaan responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu. 
  • Suatu perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur iaitu patologi forensik untuk melakukan post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jasad itu dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co. 
  • Suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan post-mortem itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh post-mortem dijalankan dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon iaitu Tetuan Naran Singh & Co. 

Sebelum ini, media melaporkan, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet PALAPES UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN