SABAK BERNAM: Satu rangka manusia ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Saring Tebuk, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.
Rangka yang belum dikenal pasti identiti itu dikesan oleh seorang lelaki tempatan, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai penemuan itu pukul 11.12 pagi sebelum siasatan dilakukan pasukannya di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati lokasi itu merupakan sebuah kebun kelapa sawit yang berada pada jarak kira-kira satu kilometer (km) dari jalan utama.
“Kawasan itu juga terletak 200 meter dari pesisir pantai Siput, Kampung Bumi Hijau, Sungai Air Tawar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah beliau, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut dipanggil ke lokasi itu bagi membantu siasatan.
Justeru, Md. Yusof meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN