SHAH ALAM: Polis merampas keseluruhan dadah berjumlah lebih setengah tan metrik bernilai RM26.88 juta yang dipercayai dapat dipasarkan bagi kegunaan hampir 3 juta penagih menerusi lapan serbuan dalam dua kes berasingan pada 25 dan 26 Jun lalu.
Rampasan narkotik itu terdiri daripada dadah jenis MDMA dalam pelbagai bentuk termasuk yang dimasukan ke dalam 1,488 kotak dan botol jus minuman berjumlah 499.52 kilogram (kg).
Polis turut merampas dadah jenis kokain dalam bentuk serbuk serta cecair dalam tujuh katrij rokok elektronik (vape) dengan berat sekurang-kurangnya 2.7 kg.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain itu, 3.5 kg pil ekstasi dan 0.4 kg pil erimin juga dirampas menerusi dua kes berasingan dalam lapan siri serbuan Ampang dan Kuala Lumpur.
“Pada 25 Jun, polis menyerbu dua unit kondominium di Ampang yang dijadikan makmal pemprosesan dadah dan menahan lima individu terdiri daripada tiga lelaki warga Taiwan, seorang lelaki China dan wanita Vietnam berusia antara 20 hingga 37 tahun serta merampas peralatan memproses cecair vape.
“Sementara di 26 Jun, polis menyerbu lapan lokasi sekitar Ampang dan Kuala Lumpur termasuk sebuah rumah teres dijadikan makmal pemprosesan dadah dan menahan 13 individu terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berusia 20 hingga 41 tahun serta merampas peralatan memproses dadah sintetik,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelasnya, menerusi serbuan tersebut polis turut merampas pelbagai barangan lain seperti sembilan kenderaan termasuk sebuah motosikal, empat bentuk cincin, tiga utas rantai leher lima utas rantai, lima utas jam tangan, satu gelang tangan serta sebuah laptop.
Tambah Hussein, selain barangan tersebut, turut ditemui adalah wang tunai berjumlah RM67,209 serta matawang lain iaitu 21,100 Dolar Taiwan (TWD) dan 3,000 Dolar Amerika Syarikat (ASD).
“Kesemua barangan yang dirampas masing-masing bernilai RM530,513.50 dan RM826.222.
“Kedua-dua sindiket dikesan aktif sejak Oktober dan Disember pada tahun lalu dan lima daripada mereka adalah ahli kimia sementara yang lain bertindak sebagai pembantu dan runner dengan pendapatan RM3,000 hingga RM25,000,” jelasnya.
Kata Hussein lagi, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.
“Kesemua suspek direman sehingga 2 dan 3 Julai bagi membantu siasatan. Orang ramai digalak untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti (pemprosesan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah) melalui Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222,” ujarnya. – UTUSAN