MUAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali Ija Nizaruddin di Sungai Tui, Lenga, dekat sini ditamatkan hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, operasi itu ditamatkan selepas empat hari dilakukan namun sehingga kini mangsa gagal ditemukan.
“Operasi ini telah dilaksanakan selama empat hari, melibatkan seramai 77 pegawai dan anggota, merangkumi pencarian melalui darat, air dan udara dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
“Operasi SAR telah digerakkan serta-merta pada hari yang sama kehilangan dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat bagaimanapun, sehingga kini, mangsa masih belum berjaya ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz berkata, operasi ditamatkan berdasarkan beberapa pertimbangan, antaranya memberi ruang kepada pasukan penyelamat untuk memperluaskan kawasan pencarian ke lokasi-lokasi lain yang berkemungkinan berkaitan dengan kehilangan mangsa.
Selain itu, pencarian terperinci di lokasi kejadian telah selesai dan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui yang menunjukkan keberadaan mangsa di kawasan tersebut.
Pada Selasa lalu, sebuah kereta Perodua Axia yang dipercayai dipandu oleh Ija Nizaruddin ditemukan terjunam ke dalam Sungai Tui di kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Kepong, namun mangsa tidak dijumpai di sekitar lokasi kejadian. – UTUSAN