MHO desak campur tangan kerajaan, empat rakyat Malaysia jadi tebusan sindiket di Golden Triangle

MHO desak campur tangan kerajaan, empat rakyat Malaysia jadi tebusan sindiket di Golden Triangle

HISHAMUDDIN Hashim (tiga dari kiri) ketika sidang media bersama ahli keluarga mangsa yang terpedaya dengan sindiket permerdagangan manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan empat rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (Golden Triangle Special Economic Zone), yang terletak di sempadan Laos dan Kemboja.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, keempat-empat mangsa berusia antara 20 hingga 24 tahun didakwa diperdaya sindiket kononnya ditawarkan pekerjaan sambilan dalam operasi kasino di rantau tersebut.

Namun, mereka kemudiannya ditahan oleh polis swasta kawasan itu selepas ejen tempatan yang membawa mereka disyaki mencuri wang syarikat kira-kira USDT 900,000 (lebih RM4 juta).

“Apabila penipuan itu terbongkar, majikan di Golden Triangle bertindak menahan kesemua mangsa dan memaksa mereka membayar semula wang berkenaan walaupun tiada penglibatan langsung.

“Mangsa kini dikurung oleh polis swasta yang dipercayai berkomplot dengan majikan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat MHO di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa keluarga mangsa kini berada dalam tekanan apabila diminta menjelaskan sejumlah besar wang sebagai ‘tebusan’ demi membebaskan anak-anak mereka.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang mangsa, Tham Ah Moi, 63, memaklumkan bahawa anaknya menerima tawaran kerja bergaji lumayan di Kemboja pada awal Jun lalu, namun, sebaik tiba bersama rakannya, mereka terus ditipu dan diperangkap oleh ejen yang tidak bertanggungjawab.

“Anak saya telefon dan minta tolong. Mereka merayu agar pihak kerajaan atau NGO segera bertindak menyelamatkan mereka,” katanya.

Sebagai langkah awal, MHO akan menghantar surat rasmi kepada Wisma Putra dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk memohon campur tangan segera.

MHO turut menggesa siasatan menyeluruh dan kerjasama diplomatik lebih tegas dengan pihak berkuasa di Laos dan Kemboja dalam menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN