Lebih dua juta saman tertunggak, JPJ lanjut bayaran kompaun khas

Lebih dua juta saman tertunggak, JPJ lanjut bayaran kompaun khas

AEDY Fadly Ramli memeriksa seorang penumpang bas ekspres ketika Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Melaka Sentral, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tempoh bayaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kategori kesalahan yang sepatutnya berakhir semalam, dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hanya 442,870 saman telah dibayar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding saman tertunggak yang mencecah lebih 2.02 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A) merekodkan tunggakan saman tertinggi iaitu sebanyak 1.54 juta.

“Tunggakan saman lain setakat 30 Jun membabitkan Notis Temu Siasat (114) iaitu sebanyak 311,866 saman sementara Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) berjumlah 171,321 saman. Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai tawaran berkenaan jadi kita lanjutkan sehingga hujung tahun ini.

“Tawaran ini layak untuk saman AwAS bermula Oktober 2018 sehingga kini manakala Notis 114 dan Notis 115 untuk saman pada 2023 dan ke bawah. Justeru, orang ramai disaran untuk tidak melepaskan peluang pelanjutan tawaran ini yang berakhir pada 31 Disember,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Melaka Sentral di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata, kegagalan menyelesaikan saman sama ada tertunggak atau melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam secara automatik oleh sistem berkuat kuasa 1 Julai.

Mengenai pemakaian tali pinggang dalam bas ekspres, beliau berkata, JPJ mengeluarkan sejumlah notis saman terhadap penumpang yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Katanya, ramai memberikan alasan tidak tahu mengenai arahan yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan persiaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN