KUALA LUMPUR: Tiada lesen memandu merupakan kesalahan tertinggi dilakukan oleh pemandu di ibu negara hasil pemeriksaan sebanyak 176,536 kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tahun lalu.
Hasil pemeriksaan itu, JPJ KL mengeluarkan sebanyak 137,192 saman dengan 26,098 kes tiada lesen memandu.
Jumlah itu bagaimanapun mencatatkan penurunan daripada 38,669 kes tahun 2024 daripada 145,542 saman membabitkan pemeriksaan 242,661 kenderaan.
Menurut Pengarah JPJ KL, Hamidi Adam, kesalahan lazim lain yang dikesan dilakukan pemandu pada tahun lalu ialah tiada cukai jalan sebanyak 21,277 kes, tiada insurans (15,874) dan cermin gelap (11,424).
“Bagi tahun 2024 pula kesalahan tiada cukai jalan sebanyak 24,479 kes, diikuti tiada insurans (19,577), cermin gelap (12,643) dan lebih muatan (7,819),” katanya dalam sidang akhbar Op Sepadu JPJ WPKL di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini.
Hamidi berkata, dua buah bas persiaran turut dikenakan tindakan atas kesalahan tiada pemandu pelancong seperti yang ditetapkan dalam syarat Keperluan Tahap Perkhidmatan dalam operasi hari ini.
“Kita memandang serius kesalahan ini kerana melanggar syarat itu boleh menjejaskan keselamatan penumpang serta mencemarkan integriti industri pelancongan dan pengangkutan awam.
“Kewajipan menyediakan pemandu pelancong berlesen adalah selaras peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482),” katanya.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan seperti ini akan terus dilaksanakan secara berkala sebagai langkah pencegahan bagi membentuk budaya pemanduan lebih berdisiplin.
Katanya, seramai 78 anggota dan pegawai daripada JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta wakil Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terlibat dalam operasi berkenaan.
Terdahulu, sebanyak 2,091 pelbagai jenis kenderaan diperiksa menerusi operasi bersepadu itu termasuk empat individu ditahan kerana positif dadah.
Hamidi Adam berkata, daripada jumlah itu 189 kenderaan diambil tindakan dan sebanyak 382 saman dikeluarkan. – UTUSAN










