Kuala Muda antara kawasan tumpuan kemalangan

Kuala Muda antara kawasan tumpuan kemalangan

DZOWAHIR Ab Ghani (tengah) dan Stien Van Lutam (kanan) mengagihkan risalah pada program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Pasar Pagi Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di 91 kawasan ‘hotspot’ kemalangan di seluruh negeri ini sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina. 

Pengarahnya, Stien Van Lutam berkata, kawasan tersebut antaranya melibatkan tiga daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi sejak tiga tahun lepas iaitu Kuala Muda, Kulim dan Kota Setar. 

“Kita ada 91 hotspot kawasan yang kerap berlaku kemalangan terutama di tiga daerah berkenaan. Jadi di kawasan ini kita akan melakukan rondaan secara berkala setiap hari supaya kita dapat kurangkan statistik kemalangan. 

“Kita harap mereka yang melalui kawasan ini berhati-hati. Selain rondaan, anggota JPJ juga akan melakukan penyamaran bagi mengesan mereka yang melanggar peraturan,” katanya pada sidang akhbar Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kedah di sini, hari ini.

Tambah Stien, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, Kuala Muda merekodkan kemalangan tertinggi tahun lepas dengan 8,152 kes, Kulim (5,745) dan Kota Setar (5,667). 

Katanya, dalam operasi kali ini JPJ Kedah menumpukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna. 

“Antara yang kerap dilakukan adalah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit sambil memandu. 

“Kemalangan selalunya disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri dan adakala turut mengakibatkan kecederaan kepada mereka yang tidak bersalah. JPJ juga mempunyai peranti khusus bagi mengesan kesalahan di jalan raya,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN