SHAH ALAM: Keseluruhan empat individu termasuk lelaki yang merupakan suspek utama ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang mahasiswi sebuah universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun lalu.
Selain suspek, individu ditahan adalah seorang rakan serumah mangsa dan dua individu luar, seorang daripadanya tinggal di unit apartment berasingan, namun mengenali mangsa dan seorang wanita merupakan rakan suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai mempunyai kad akses untuk masuk ke rumah mangsa yang diperolehi daripada teman wanitanya.
Menurutnya, suspek mempunyai niat tidak baik terhadap wanita berusia 20 tahun yang kebetulan ketika itu berada bersamanya di dalam kediaman tersebut sementara teman serumah lain sudah pun pulang ke kampung masing-masing selepas menduduki peperiksaan akhir semester.
“Suspek mengambil kesempatan ke atas mangsa yang tinggal berseorangan di dalam apartment tersebut yang ketika itu menunggu untuk menduduki kertas terakhir peperiksaan. Suspek memang pernah beberapa kali datang dan bermalam di rumah tersebut, jadi dia ada peluang pada malam 24 Jun.
“Pada malam, itu dia (suspek) berada di dalam rumah tersebut menggunakan kad akses dan kunci yang diberikan oleh teman wanitanya yang sudah pun pulang ke kampung selepas tamat tempoh peperiksaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelas Hussein, selain yang ditahan, polis turut mendapat keterangan daripada dua rakan serumah dan akan memanggil seorang lagi daripada mereka untuk dirakam percakapan.
Tambahnya, ketika kejadian suspek yang tidak bekerja turut menyamun mangsa dengan mengambil barangan peribadi seperti telefon bimbit dan komputer riba serta sempat berbelanja sebanyak RM200 menggunakan kad ATM milik mangsa.
“Bagaimanapun suspek sudah buang telefon bimbit dan lupuskan (serahkan) laptop serta kunci dan kad akses. Sebahagian barang kes berjaya ditemukan polis. Kita akan lengkapkan siasatan, satu lagi saaksi masih dikesan kerana berada dipenjara.
“Saksi tersebut dipercayai menerima barangan milik mangsa, namun tidak mempunyai kaitan dengan kejadian. Jadi, kita percaya kita akan lengkapkan (siasatan) dalam masa terdekat. Dengan penahanan suspek dan individu lain kes dianggap selesai.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis menahan tiga suspek termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar universiti di Cyberjaya, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tangkapan dilakukan di sekitar Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan, sementara siasatan di lokasi kejadian mendapati, tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk ke atas kediaman mangsa. – UTUSAN